fbpx

Guna kaedah SPS kukuh ban kerap rebak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut hari ini.

SHAH ALAM – Selangor akan menggunakan kaedah binaan ‘schematic precast system’ (SPS) dalam mengukuhkan ban di lokasi yang kerap rebak.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, dua projek perintis akan dilaksanakan di Tanjong Karang dan Kuala Langat dengan peruntukkan sebanyak RM10 juta sebelum diperluaskan ke tempat lain.

“Selangor mempunyai ban untuk sungai sepanjang 700 kilometer (km) dan pesisir pantai pula dianggarkan 300km. Kalau hendak buat semua ban tersebut dalam bentuk solid atau retaining wall dan sebagainya adalah mustahil, kosnya terlalu tinggi.

“Apa yang kita telah pasti dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah tempat-tempat yang sering menjadi masalah ini, kita akan ganti dengan kaedah binaan ban lebih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan 5 Tekad 5 Tahun di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi Monsun Timur Laut terutama apabila terdapat ban pecah ketika dilanda air pasang besar.

Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa ban pecah termasuk
berdekatan Taman Saujana Aman dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Batu 7, Ijok dan Ban Sungai Bernam.

Semua telah menyebabkan banjir sehingga berlaku pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Izham memberitahu, pengaplikasian kaedah tersebut adalah selepas melihat kejayaan SPS di Indonesia dalam mengurangkan impak limpahan akibat air pasang besar.

Beliau menjelaskan, pihaknya buat masa ini telah menyediakan pam air di lokasi-lokasi ban yang berpotensi pecah bagi memudahkan pengepaman semula air ke sungai.

“Cuma apa saya hendak sebut adalah projek bernilai RM30 juta bagi menambah baik pesisir pantai telah diluluskan kerajaan pusat dan sedang dilaksanakan ketika ini.

“Projek ini bukan boleh siap dua tiga bulan sebaliknya dua atau tiga tahun. Jadi, dalam masa pembinaannya itu akan kenalah (limpahan air). Kita hendak naikkan ban sedia ada kepada satu setengah meter sebab paras laut sudah meningkat,” katanya. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI