fbpx

Gegaran dan letupan kuat tiada kaitan kejadian gempa bumi, letupan kuari – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Gegaran kuat diikuti bunyi dentuman yang mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di Ipoh dan kawasan berdekatan tidak mempunyai kaitan dengan kejadian gempa bumi di Indonesia.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mendapati tiada aktiviti seismik dikesan di Ipoh meskipun terdapat kejadian gempa bumi di Halmahera, Indonesia pada pukul 11.24 pagi tadi.

“Selain itu, kita turut membuat semakan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dan dimaklumkan tiada latihan berkaitan letupan dijalankan hari ini.

“Malah, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan dijalankan di kuari sebelum pukul 12 tengah hari,” katanya hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 11 pagi.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden itu bagi mengelakkan kegusaran awam.

“Kita minta mana-mana individu yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073,” katanya.

Terdahulu, gegaran diikuti bunyi dentuman kuat itu mengejutkan penduduk di bandar raya ini yang mana rata-rata mereka menyangka ia berpunca daripada aktiviti letupan di tapak kuari.

Tinjauan di media sosial mendapati gegaran turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Tasek, Stadium Perak, Manjoi, Meru, Falim, Bercham dan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping, namun puncanya masih belum diketahui sehingga kini.

Ini berikutan pihak Jabatan Mineral dan Geosains Perak menafikan berlakunya sebarang aktiviti kuari, malah, METMalaysia menafikan kejadian itu berpunca daripada gempa bumi selain Akademi Tentera Udara turut menafikan ianya disebabkan aktiviti latihan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI