IPOH – Gegaran dan bunyi kuat di sekitar bandar ini sekitar pukul 11 pagi tadi mengejut orang ramai yang berasa cemas serta tertanya-tanya mengenai puncanya.
Menurut seorang pekerja swasta, Muhamad Ruzainy Ahmad, 39, dia yang ketika itu sedang bekerja di pejabatnya di Tambun tiba-tiba berasa gegaran tersebut bahkan ia turut dirasai rakan sekerjanya.
“Kami segera keluar dari premis pejabat ini kerana ingatkan ada berlaku bencana tetapi apabila diperhati tiada apa pun yang berlaku.
“Sampai sekarang kami pun tak tahu apa puncanya, namun pelbagai teori yang muncul seperti letupan di suatu lokasi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, seorang suri rumah di Meru Raya, Nurul Hafizah Johari, 36, berkata, dia yang sedang mengemas rumahnya berasa gegaran tersebut sekitar 11.05 pagi tadi.
Katanya, perkara itu menyebabkan kumpulan WhatsApp tamannya ‘meriah’ dengan pertanyaan mengenai gegaran tersebut.
“Kami pun tak tahu apa puncanya. Ada yang kata itu bunyi kapal terbang berkelajuan tinggi, bahkan ada penduduk taman mendakwa ia berlaku akibat letupan di sebuah kuari,” katanya.
Pada masa sama, seorang penduduk Kuala Kangsar, Mohd. Idham Omar, 28, mendakwa, dia yang sedang memandu di sekitar bandar tersebut turut mendengar bunyi berkenaan.
Katanya, ramai yang berada di bandar tersebut turut mendengar bunyi berkenaan tetapi tiada siapa yang boleh mengesahkan punca bunyi tersebut. – KOSMO! ONLINE