fbpx

Gaji minimum RM1,700: Kerajaan rangka insentif untuk majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahman pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang merangka langkah pelaksanaan bagi gaji minimum RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia membabitkan insentif kepada majikan.

“Sekarang ini, setelah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, Kesuma dalam proses merangka langkah seperti apa yang dinyatakan (Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew).

“Kita juga akan mempersiapkan apa yang dimaksudkan dengan gaji minimum itu,” katanya pada sesi pertanyaaan lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Oscar Ling (PH-Sibu) berhubung insentif yang akan diberikan kepada majikan supaya golongan pekerja baharu tidak akan dipinggirkan.

Menurut Oscar Ling, dengan pelaksanaan gaji minimum, keadaan persaingan pasaran kerja akan menjadi lebih rumit terutama kepada individu yang kurang berpengalaman dan kemahiran.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, gaji minimum tidak akan memberi kesan kepada graduan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan mahir dan separa mahir.

“Yang terlibat adalah golongan pekerja bawahan contohnya seperti buruh,” jelasnya.

Pada Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI