fbpx

Finswimming ada potensi besar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAVIVIRMA (depan, kiri) bergambar bersama para pemenang Kejohanan Finswimming Kumpulan Umur Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Sukan Educity semalam. - BAAZLAN IBRAHIM

ISKANDAR PUTERI – Sukan finswimming diperkenalkan di Malaysia sejak 2021 semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di setiap peringkat umur menerusi penganjuran kejohanan yang dilakukan.

Presiden Persatuan Finswimming Malaysia, S. Ravivarma berkata, ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah peserta lebih dua kali ganda iaitu seramai 350 peserta berbanding kira-kira 130 peserta sahaja pada tahun lalu.

Katanya, jumlah persatuan sukan tersebut turut bertambah membabitkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Pahang, manakala Kedah serta Kuala Lumpur dalam proses pendaftaran persatuan.

“Perkembangan sukan ini amat positif dan kita berharap semua negeri mempunyai persatuan sukan fin swimming masing-masing bagi mempromosikan sukan tersebut.

“Sukan ini telah diperkenalkan dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Utara Malaysia bulan lalu dan berharap ia dapat dipromosikan kepada universiti-universiti yang terlibat,” katanya pada Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Malaysia 2024 di Kompleks Sukan Educity, di sini semalam.

Finswimming merupakan acara sukan renang yang menggunakan peralatan apungan dan pernafasan iaitu sepasang sirip kaki (bifin) atau sirip kaki tunggal (monofin) serta mask, snorkel dan set skuba.

Pasukan finswimming negara membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam diikuti Sukan SEA Kemboja malah berjaya memperolehi satu pingat gangsa.

Ravivarma berkata, pasukan negara turut cemerlang meraih satu pingat gangsa bagi acara relay pada Kejohanan Finswimming Asia di Phuket, Thailand bulan lalu.

Dalam pada itu, Ravivarma turut menyuarakan impiannya agar acara finswimming dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

“Untuk melayakkan acara ini disenaraikan ke temasya Sukma, sekurang-kurangnya kita perlu ada tujuh ke lapan negeri persatuan finswimming.

“Kami jangkakan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada tahun depan dan kini persatuan sedang giat aktif dalam menganjurkan siri kejohanan di peringkat negeri menerusi program pembangunan akar umbi bagi melahirkan atlet terbaik,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut mengharapkan kerjasama kerajaan negeri dan sokongan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) di setiap negeri dalam membantu bagi menggerakkan sukan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN