KUALA LUMPUR – Masih kelihatan jelita dan bertenaga pada usia melangkaui angka jubli emas, antara tip dikongsikan pelakon Datin Sofia Jane termasuklah berhenti ‘menyentuh’ makanan berproses.
Kata Sofia atau nama sebenarnya Sofia Jane Hisham, 52, sesiapa sahaja boleh kekal awet muda asalkan terus menjaga pengambilan hidangan harian serta menjalani gaya hidup sihat dengan bersenam.
“Setiap hari bila saya bangun, saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam dan mengangkat beban.
“Saya juga amalkan makanan yang sesihat mungkin. Sudah lama saya tidak ambil makanan berproses dan makanan segera.
“Pada saya untuk mencapai semua ini hanyalah asas dan sangat mudah tapi ramai yang tidak percaya,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Nenek Bongkok Tiga itu memberitahu, dia menggalas tanggungjawab untuk menjaga kesihatan bagi membolehkannya kuat bekerja.
“Ketika ini, seperti menjadi satu obsesi orang ramai bila kita bercakap soal pengekalan kecantikan.
“Saya merasakan pada usia saya sekarang apa yang membuatkan saya terus melangkah adalah tahap kesihatan saya sendiri.
“Kalau saya ingin bekerja lebih lama lagi, saya mesti sihat secara mental dan fizikal. Pada ketika ini, itulah yang menjadi keutamaan saya,” ujarnya.
Selain itu, Sofia turut menitipkan nasihat terutamanya kepada pelakon wanita untuk sentiasa menjaga kesihatan kerana perlu menggunakan tenaga tanpa mengira waktu.
“Buat wanita seusia saya terutamanya yang berkecimpung dalam dunia seni, tahap kesihatan kita kena sentiasa berada di tahap terbaik.
“Waktu kerja kita bukan dari 9 pagi hingga 5 petang. Kita kerja siang dan malam serta waktu yang tidak menentu.
“Malah, kesedaran terhadap kesihatan mental juga penting. Kerja kita memerlukan belajar, membaca dan memahami skrip, ada banyak perkara yang perlu diproses,” jelasnya.
Sebelum ini, Sofia diberi julukan ‘vampire’ daripada sebilangan peminat kerana wajahnya yang tidak berubah walaupun menjangkau usia 50-an. – KOSMO! ONLINE