BESUT – Sebuah bot yang membawa lapan pelancong asing tanpa lesen operasi ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Besut di sini semalam.
Bot yang dikendalikan penduduk tempatan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 20.37 kilometer dari timur laut muara Kuala Besut pada pukul 11 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sewaktu kejadian, bot itu dalam perjalanan menghantar pelancong asing ke Pulau Rawa dari Pulau Perhentian, Kuala Besut.
“Pemeriksaan mendapati bot pelancong itu beroperasi dengan lesen tamat tempoh.
“Perbuatan membawa penumpang tanpa lesen operasi dan insurans merupakan satu kesalahan yang serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairulanuar berkata, pengendalian bot pelancong tanpa lesen dan insurans sah juga membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Tambah beliau, operator bot terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kita tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan. Saya menyeru pengusaha bot pelancong agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE