PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi membaik pulih fasiliti rumah persatuan dan tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi yang mewakili Anwar kepada pihak Pena menerusi satu pertemuan baru-baru ini.
“Pertemuan ini adalah lanjutan daripada sesi dialog antara saya bersama tujuh Sasterawan Negara pada Jun lalu, yang telah mencetuskan pelbagai idea bernas terkait usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera di negara kita.
“Usai perbincangan dengan pihak Pena, Saudara Farhan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi pihak saya,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan dan sumbangan itu dapat membantu Pena terus memainkan peranan penting mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta memperkasa suara penulis tempatan.
“Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah Pena sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE