fbpx

Andy Flop Poppy harap kerajaan agresif selesai isu warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menurut Andy, sikap terlalu 'berlembut' dengan warga asing membuatkan golongan itu mengambil kesempatan sehingga mampu bertindak di luar kawalan.

PETALING JAYA – Vokalis kumpulan Flop Poppy iaitu Andy berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap lambakan warga asing yang masuk ke negara ini dan sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan tanpa kebenaran atau permit.

Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria, 52, berkata, sikap terlalu ‘berlembut’ dengan warga asing membuatkan golongan itu mengambil kesempatan sehingga mampu bertindak di luar kawalan.

“Kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan di beberapa kawasan seperti sekitar Lembah Klang secara tidak langsung memberi kesan kepada peniaga warga tempatan.

“Apabila perkara ini dibiarkan, golongan warga asing akan naik ‘tocang’ dan mengaku kawasan tersebut milik mereka. Sekarang ini apa jaminan kerajaan kepada rakyat agar tidak dibanjiri dengan kebanjiran warga asing?

“Sekarang ini rakyat rasa tidak selesa dengan kebanjiran warga asing, jadi hantar pulang semula warga asing ke negara asal,” katanya dalam video di TikTok.

Malah, Andy turut menasihati rakyat tempatan agar tidak mudah terpedaya atau bersimpati dengan warga asing di negara ini.

“Masyarakat kita perlu berani bersuara dan menentang kemungkaran ini. Perkara sebegini sudah banyak berlaku di depan mata. Seharusnya kita sebagai tuan rumah perlu berani bersuara agar mereka ini tidak berlebihan.

“Seharusnya kita semua perlu bercakap dan jangan hanya mengharapkan sekadar satu atau dua orang saja bersuara, tetapi yang lain di belakang menyokong. Kita semua kena bercakap kerana ini juga sama seperti dakwah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Andy turut berkongsi pengalaman tindakan biadab seorang lelaki warga Arab yang menghampirinya dan meminta untuk dibelikan rokok.

“Waktu saya berjalan di sekitar kawasan Bukit Bintang ada seorang lelaki Arab ini tanpa segan silu datang dan minta rokok. Saya beritahu agar membelinya di kedai serbaneka berhampiran.

“Bagi saya tindakan (lelaki Arab) itu biadab kerana mereka ini dengan selamba memperlakukan negara kita seperti negara mereka,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan dua lelaki Maghribi memberi alasan mahu mencari wang belanja sepanjang berada di Malaysia menyebabkan mereka meminta sedekah sambil menari tarian tradisional Maghribi di Bukit Bintang.

Difahamkan, kedua-duanya memasuki ke negara ini dengan menggunakan pas pelancong dan tinggal di hotel berdekatan untuk membuat persembahan setiap hari bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi dan meraih pendapatan sebanyak RM200 sehari. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI