SKUAD berbasikal trek kebangsaan masih belum berada pada tahap terbaik apabila menampilkan aksi bawah paras sebenar pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Velodrom Ballerup Super Arena, Denmark.
Kelmarin, pasangan adik-beradik yang merupakan harapan Malaysia dalam acara pecut individu lelaki, Shah Firdaus dan Ridwan Sahrom terpaksa akur hanya menamatkan saingan di pusingan pertama.
Jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui, prestasi anak-anak buahnya belum mencapai tahap yang dimahukan, lebih-lebih lagi menjalani persiapan tidak maksimum selepas rehat panjang sebaik temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.
“Secara keseluruhan, kita boleh tahu bahawa prestasi kita bukan yang terbaik sama seperti di Olimpik tempoh hari. Selain itu, kita juga kurang persiapan untuk kejohanan ini kerana berehat hampir dua minggu selepas Olimpik.
“Saya percaya kita secara perlahan-lahan akan kembali ke prestasi terbaik seperti yang diharapkan,” katanya merujuk kepada aksi ditampilkan pelumba-pelumba negara pada hari keempat kejohanan kelmarin.
Pada aksi pusingan pertama itu, Shah terpaksa akur dengan kekalahan kepada Joseph Truman dari Great Britain, manakala Ridwan gagal mengatasi pelumba Jepun, Yuta Obara, sekali gus gagal ke pusingan seterusnya.
Terdahulu, dalam pusingan kelayakan, Shah melakukan catatan masa 9.940 saat (s) di kedudukan ke-22, masih jauh jika dibandingkan dengan catatan terbaik peribadi (PB) 9.635s, manakala Ridwan sekadar mencatat 10.004s (No. 25).
“Shah kelihatan semakin baik selepas mengalami demam teruk tetapi badan masih belum pulih sepenuhnya. Ridwan pula melakukan PB tetapi agak kecewa kerana tidak dapat lakukan catatan masa bawah 10s,” ujar Harnizam.
Bagi acara 500 meter (m) ujian masa wanita, dua pelumba negara, Izzah Izzati Mohd. Asri dan Anis Amira Rosidi sekadar menamatkan saingan di pusingan kelayakan selepas masing-masing menghuni kedudukan ke-17 dan 23.