KUALA LUMPUR – Seramai 152 penunggang motosikal dibawa menunaikan solat subuh secara berjemaah dan diberikan tazkirah selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Razak, di sini kelmarin.
Mereka yang berusia 15 hingga 24 tahun itu dicekup sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam operasi bermula pukul 11 malam.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, dalam operasi secara berperingkat berakhir pukul 5 pagi itu, pihaknya memeriksa sebanyak 152 buah motosikal.
Sebanyak 68 buah motosikal telah disita, manakala bakinya telah disaman.
Dalam operasi itu, seramai 152 individu dibawa ke JSPT KL, manakala motosikal yang disita akan menjalani pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat.
“Kesemua mereka juga dibawa menunaikan solat subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus ke arah kesedaran tentang keburukan merempit selain keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Tazkirah tersebut disampaikan oleh Asisten Superintendan Zamri Basiran dan Inspektor Abdullah Hafiz daripada Unit Penguatkuasaan JSPT KL,” katanya hari ini.
Tambahnya, pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada kumpulan remaja tersebut diharap dapat membantu pewaris negara untuk menunjukkan akhlak yang mulia kepada masyarakat.
Kata beliau, ibu bapa disarankan agar memberi lebih perhatian dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi.
“Ibu bapa juga digalakkan untuk memastikan anak-anak ini tidak terlalu bebas untuk keluar tengah malam tanpa alasan munasabah terutama sekali bagi remaja perempuan.
“Secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang lalu lintas,” ujarnya.
Tegasnya, pihak JSPT sentiasa menjalankan operasi yang melibatkan kenderaan selain motosikal dan tiada kompromi bagi kesalahan melibatkan samseng jalanan untuk memastikan keselamatan pengguna lain terjaga dan tindakan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesalahan yang kerap kali berlaku adalah aktiviti merempit dan berlumba sesama sendiri, ubah suai motosikal antaranya melibatkan tayar dan ekzos,” katanya.-KOSMO! ONLINE.