fbpx

Ummu Atiyah berada 30 minit di Kampung Ikhwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ummu Atiyah (dua dari kanan) tiba di perkampungan GIBSH atau dikenali Bandar Ikhwan bagi membantu siasatan dakwaan dikurung secara tidak sah di Batu Hampar Dalam, di Beruas, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

BERUAS – Anak sulung bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad dibawa ke perkampungan GISB Holding (GISBH) dikenali Bandar Ikhwan di Batu Hampar di sini petang tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dikurung secara tidak sah.

Ummu Atiyah yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dengan diiringi lima kenderaan lain termasuk kereta peronda polis tiba di perkampungan itu pada pukul 2.38 petang.

Kehadiran wanita berusia 41 tahun itu diiringi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Taiping, Asisten Superintendan N. Suder bersama sembilan pegawai dan anggota polis.

Ummu Atiyah yang memakai baju kebarung berwarna kelabu dan berselendang putih kemudian menunjukkan kawasan rumah didakwa dia dikurung dan sekitar perkampungan tersebut kepada pegawai polis.

Ummu Atiyah dibawa ke situ untuk membantu siasatan berhubung dakwaan dikurung secara salah di sebuah rumah setingkat di lokasi berkenaan.

Sebaik berada kira-kira 30 minit di perkampungan itu, Ummu Atiyah bersama tiga rakan termasuk pemandu meninggalkan lokasi dengan SUV sama pada pukul 3.07 petang.

Wanita itu sempat melambaikan tangan kepada jurugambar sambil berkata “Terima kasih semua, kami hendak balik KL (Kuala Lumpur).”

Difahamkan wanita itu dibawa ke Balai Polis Padang Gajah, Trong pada pukul 11 pagi untuk dirakam keterangannya bagi membantu siasatan.

Malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Ummu Atiyah yang merupakan anak Ashaari akan menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung selama sebulan di perkampungan GISBH di Batu Hampar, hari ini.

Pada sidang akhbar di ibu negara, wanita itu mendakwa dia menjadi mangsa pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI