PETALING JAYA – Tokoh Perbankan Islam Malaysia, Datuk Dr Abdul Halim Ismail, meninggal dunia pada usia 85 tahun, hari ini.
Perkara tersebut disahkan melalui satu hantaran di Facebook rasmi Bank Islam Malaysia Berhad.
Hantaran itu berkata, Abdul Halim yang juga Pengarah Urusan pertama Bank Islam merupakan seorang pemimpin yang berwawasan, telah membentuk asas kewangan Islam di Malaysia.
“Dedikasi dan semangat perintisnya telah memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan kami serta meninggalkan impak berkekalan dalam pembangunan industri kewangan Islam Malaysia.
“Sebagai peneraju pertama Bank Islam, beliau bukan sahaja menggalas cabaran untuk memperkenalkan sistem perbankan baharu, malah memimpin kami dengan kebijaksanaan dan visi jauh ke hadapan,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, legasi Allahyarham bukan hanya terbatas dalam ‘dinding’ Bank Islam, malah menjangkau kehidupan ramai yang mendapat manfaat daripada usaha beliau memperjuangkan kewangan Islam dan membolehkan segenap masyarakat mendapat akses penyelesaian kewangan diperlukan.
“Ini termasuklah industri Takaful, pengurusan dana amanah Islam, pembrokeran saham dan lain-lain.
“Selain pencapaian profesional, Abdul Halim dikenali atas sifat yang berani, berintegriti tinggi, rendah hati dan sentiasa prihatin terhadap khidmat masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE