fbpx

Takut punya pasal, sanggup tinggal 2 tan beras Siam tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kereta Proton Waja yang ditahan membawa sebanyak 800 kg beras Siam di Kampung Jias, Beta Hulu dekat Kota Bharu, semalam. Foto IHSAN PGA

KOTA BHARU – Dua penyeludup cabut lari meninggalkan kenderaan dipandu mereka yang membawa sebanyak dua tan beras Siam bernilai RM8,000, selepas kegiatan mereka dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di dua lokasi berasingan, di sini dan Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, rampasan pertama dijalankan di Kampung Jias, Beta Hulu, di sini kira-kira pukul 9 pagi selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Menurutnya, kereta tersebut ditahan selepas ia didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.

“Seorang lelaki dilihat keluar dan melarikan diri meninggalkan kereta yang dipandunya itu di tepi jalan.

“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut menjumpai sebanyak 800 kilogram (kg) beras bernilai RM3,200 dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan beras seludup kedua dijalankan semasa anggota Batalion 8 PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di tepi jalan Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Pajero ditahan di kawasan tersebut sebelum seorang lelaki dilihat lari meninggalkan kenderaan yang dipandunya itu.

“Pemeriksaan di dalam trak pikap itu menjumpai sebanyak 1,200 kg beras yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Beras-beras tersebut dianggarkan berjumlah RM4,800 dan keseluruhan rampasan termasuk trak pikap yang ditinggalkan suspek bernilai RM30,000,” ujarnya.

Nik Ros Azhan berkata, semua beras dan kenderaan yang dirampas diserahkan kepada kompeni taktikal Jeram Perdah, Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI