JAKARTA – Bekas jeneral, Prabowo Subianto hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia dalam perkembangan yang bakal menyaksikan beliau cuba mengukuhkan kedudukannya di pentas global.
Pemimpin berfahaman nasionalis berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen sebagai rasmi menggantikan Presiden Joko Widodo(Jokowi)
“Saya bersumpah akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden Republik Indonesia sebaik mungkin dan seadil boleh, mendukung perlembagaan serta melaksanakan semua undang-undang dan peraturan seberapa tegas yang boleh,” katanya.
Bekas menteri pertahanan itu berucap kepada anggota-anggota Parlimen sebelum menuju ke Istana Presiden di mana Jokowi menyerahkan tampuk kepimpinan selepas berkuasa selama satu dekad.
Prabowo sendiri komited kepada dasar luar berkecuali Indonesia tetapi memberi isyarat bahawa beliau akan menjadi lebih berani di pentas dunia.
Beliau menjadikan China sebagai destinasi lawatan luar pertamanya selepas pilihan raya Presiden lapan bulan lalu sebelum berkunjung ke sebilangan negara lain termasuk Russia, Arab Saudi dan Australia. – AFP