PUTRAJAYA – Program penyasaran subsidi RON95 yang akan diperkenalkan kerajaan pertengahan tahun hadapan bukan hanya berdasarkan garis pendapatan isi rumah semata-mata.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, buat masa ini, ia (penyasaran subsidi RON95) bukan berdasarkan asas pendapatan isi rumah, sebaliknya mengambil kira faktor-faktor lain.
“Saya boleh sahkan bahawa ia bukan menggunakan kaedah pendapatan isi rumah semata-mata seperti yang dirujuk kepada B40, M40 dan T15.
“Ia bukan kalau kamu gaji sekian-sekian kamu tak dapat (subsidi). Ia tak boleh potong ‘line’ (ikut pendapatan isi rumah) sahaja, kita kena tengok pemboleh ubah lain dan bukan pukul rata.
“Banyak simulasi dan proses yang kita akan lakukan di antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan jabatan-jabatan terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Statistik Negara 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kumpulan pendapatan maha kaya (T15) tidak lagi menikmati subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan.
Katanya, penentuan sama ada kumpulan pendapatan mana tidak layak menikmati subsidi RON95 juga akan mengambil kira faktor-faktor lain termasuk lokaliti dan tanggungan kerajaan. – KOSMO! ONLINE