MELAKA – Seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut, manakala dua yang lain cedera selepas motosikal ditunggang masing-masing bergesel gara-gara mengelak lopak air di Jalan Pesisiran Pantai Klebang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirul Mohd Sukri, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan tersebut membabitkan lima buah motosikal yang dalam perjalanan dari arah Pusat Bandar Melaka menghala ke Klebang.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang salah seorang mangsa cuba mengelak lopak air sebelum mereka bergesel sesama sendiri.
“Akibatnya, seorang pelajar kolej yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC telah terjatuh di lorong kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, dua lagi penunggang motosikal berusia 19 tahun yang pekerja di loji penapisan minyak di Sungai Udang mengalami luka di seluruh badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
“Dua lagi penunggang yang lain terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE