JOHOR BAHRU – Berpantang maut sebelum ajal.
Itu ungkapan yang sesuai bagi menceritakan kejadian menimpa seorang lelaki yang tidak mengalami sebarang kecederaan selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas ke dalam parit selepas dirempuh kenderaan lain.
Menurut Ng Eng Leong, 56, dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, dia sedang memandu seorang diri di Jalan Kasa, Taman Sentosa, di sini menuju ke kedai sayur tempatnya bekerja.
“Saya memandu tidak terlalu laju kerana laluan ini kecil dan membawa muatan sayur-sayuran. Secara tiba-tiba sebuah kenderaan keluar dari simpang dan merempuh bahagian kanan kenderaan saya.
“Akibat rempuhan itu, kenderaan saya terbabas ke kiri, merempuh tembok penghadang dan terjatuh ke dalam parit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Eng Leong, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya luka kecil di siku.
“Mujur tidak hujan (ketika kejadian), jadi air di dalam parit tidak tinggi. Jika tidak mesti saya sudah mati. Namun cemas juga sewaktu terjatuh (dalam keadaan terbalik) apabila melihat melihat air sudah masuk dalam kenderaan.
“Saya pandang belakang dan perasan cermin belakang sudah pecah, jadi saya merangkak keluar sebelum memanjat tebing,” katanya.
Dia memberitahu pemandu kereta Honda yang merempuhnya adalah lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 60-an juga tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE