fbpx

Moyang Perancis 9 cicit terima PhD pada Konvokesyen UMT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohani (tengah) diraikan ahli keluarganya setelah menerima skrol PhD pada majlis Konvokesyen UMT ke-22 di Kuala Nerus, hari ini.

KUALA NERUS – Usia 81 tahun tidak menjadi halangan buat wanita Perancis yang bermastautin di Terengganu lebih lima dekad lalu menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-22 hari ini.

Christine Rohani Longuet yang menetap di Pulau Duyong, Kuala Terengganu berkata, kejayaannya itu membuktikan usia bukan halangan dalam menimba ilmu.

“Saya memulakan pengajian PhD dengan tesis bertajuk ‘Places, Plants and People In The State Of Terengganu, Malaysia: An Assessment From Two Eras’ pada 2014.

“Walaupun mengambil masa begitu lama untuk menyiapkannya kerana kekangan masa alhamdulillah akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi dengan disaksikan sebahagian anak, cucu dan cicit,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol PhD kepada Rohani.

Nenek kepada 26 cucu dan moyang kepada sembilan cicit itu bersyukur menerima sokongan padu daripada pensyarah serta keluarga sepanjang 10 tahun pengajian tersebut.

Rohani berkata, impiannya selepas ini mahu menulis memoir kenangan sepanjang berada di bumi Terengganu sejak 51 tahun lalu.

“Saya mahu cucu, cicit dan keturunan saya mengetahui sejarah asal usul nenek moyang mereka dan bagaimana boleh berada di Malaysia setelah melalui pengembaraan belayar jauh dari Perancis.

“Saya juga mahu meluahkan pengalaman dan kecintaan terhadap budaya, kesenian serta warisan tradisional Terengganu di dalam buku tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI