KUCHING – Mayat lima mangsa perahu lumba regatta ditemukan di perairan Royal Bay Commercial Centre, di sini pagi tadi selepas bot yang mereka naiki karam pada Jumaat lepas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, semua mangsa dijumpai pasukan Sarawak Coastguard dan bantuan drone PGU.
“Penemuan berlaku pada pagi tadi berhampiran Barrage Sarawak, dengan dua mangsa ditemukan pada pukul 6.16 pagi. Mangsa ketiga pada pukul 6.40 pagi, manakala mangsa keempat dan kelima dijumpai pukul 7.07 pagi dan 7.09 pagi,” katanya.
Ujarnya, mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Mangsa terbabit adalah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd. Afiq Isyamudin Asaari, 26, Mohamad Khairul Bidin, 26, dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.
Mereka adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga setelah insiden bot karam yang berlaku pada Jumaat lalu.
Terdahulu media melaporkan, mangsa bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regatta Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.
Seramai 11 daripada 16 peserta latihan regatta berjaya menyelamatkan diri.
Perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil daripada kapal nelayan dari arah bertentangan dalam kejadian pukul 3.40 petang, Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE.