DALAM dunia flora yang mempesonakan setiap mata memandang, tersimpan rahsia tidak diketahui ramai orang.
Di sebalik keindahan kelopak yang mengeluarkan wangian tersendiri, terdapat bunga-bunga menghasilkan toksin.
Toksin tersebut bertindak sebagai bentuk pertahanan untuk memastikan kelangsungan hidup bunga-bunga berkenaan di alam semula jadi.
Jika tidak berhati-hati, toksin pada bunga ini boleh membawa maut kepada manusia dan haiwan jika termakan atau tidak dikendalikan dengan betul.
Pada minggu ini, Panorama menyenaraikan lima bunga cantik tetapi boleh membawa maut kepada penggemarnya.
1. Angel’s trumpets (Brugmansia)
Angel’s trumpets memiliki toksin yang mampu menimbulkan gejala seperti halusinasi hingga hilang ingatan.
Semua bahagian bunga ini dianggap beracun dan mengandungi alkaloid, atropin, scopolamine, dan hyoscyamine.
Walaupun aspek bunga ini memiliki manfaat dalam dunia perubatan, namun penggunaan tanpa pengawasan doktor boleh membawa maut.
Berasal dari Amerika Selatan, bunga ini memiliki variasi warna seperti putih, kuning, merah jambu, oren dan merah.
Ia boleh meracuni mangsa melalui sentuhan, bauan atau dimakan.
2. Oleander (Nerium)
Oleander merupakan satu-satunya spesies yang kini diklasifikasikan dalam genus Nerium.
Bunga ini memiliki variasi warna merah jambu, putih, merah, kuning dan pic.
Gugusan bunga yang besar dan menarik ini memiliki keupayaan untuk bertahan dalam iklim panas dan kering.
Bagaimanapun, bunga ini mengandungi cardiac glycosides yang beracun.
Dengan hanya menyentuhnya (terutamanya getah), ia boleh menyebabkan kekeliruan dan sawan.
3. Snake’s head fritillary (Fritillaria Meleagris)
Spesies tumbuhan berbunga Eurasia ini datang daripada keluarga liliaceae.
Bunga ini memiliki corak kotak-kotak yang unik pada kelopak layu dan berbentuk seperti loceng.
Snake’s head fritillary memiliki variasi warna ungu dan putih dan tumbuh subur dalam persekitaran tanah lembab. Di tengah-tengah bunga itu mengandungi alkaloid beracun yang sering disamakan dengan bisa ular.
Alkaloid ini boleh mengganggu fungsi sel normal dan menjejaskan keupayaan tubuh mangsa untuk mengawal isyarat saraf.
4. Star of bethlehem (Ornithogalum)
Star of bethlehem berasal dari Eropah Selatan dan Afrika Selatan.
Bunga ini sering digunakan dalam aktiviti keagamaan kerana melambangkan harapan, kesucian, kejujuran dan pengampunan.
Semua bahagian bunga ini beracun kepada manusia dan haiwan.
Bahan utama toksik kelihatan serupa dengan alkaloid, walaupun sehingga kini tidak dikenal pasti.
Sekiranya dimakan, ia akan menyebabkan gejala dan komplikasi yang lebih teruk.
5. Belladonna (Atropa belladonna)
Nama bunga ini berasal daripada perkataan Itali iaitu ‘belladonna’ yang bermaksud wanita cantik.
Ia merujuk kepada wanita Venice, titisan belladonna yang merupakan salah satu rutin kecantikan.
Namun, ritual tersebut juga membawa kesan sampingan seperti peningkatan kadar denyutan jantung, gangguan penglihatan kekal atau buta.
Semua bahagian pada bunga belladonna memiliki toksik.
Dengan hanya 600 miligram sahaja, ia mampu membuatkan seseorang itu terlebih dos.
Kesan pencernaan dari mana-mana bahagian bunga ini boleh membawa maut, manakala jika terkena daun juga boleh merengsakan kulit.