fbpx

Johari jumpa DBKL bincang isu parkir di Kompleks Pasar Raja Bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari meninjau keadaan di pasar lama yang bersebelah di bangunan baru Kompleks Pasar Raja Bot bagi melihat isu-isu yang diadukan oleh para peniaga pasar itu ketika tinjauan, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan satu perjumpaan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membincangkan tentang isu tempat letak kereta di Kompleks Pasar Raja Bot di Jalan Raja Alang, Jumaat depan.

Beliau berkata, perkara itu susulan keluhan daripada peniaga yang sudah berpindah ke kompleks tersebut serta berdepan masalah kekurangan pelanggan berikutan orang ramai lebih memilih untuk ke pasar transit.

Katanya, rentetan daripada masalah itu juga terdapat ramai peniaga berkeras untuk berpindah ke kompleks baharu kerana bimbang hilang punca pendapatan.

“Semasa peniaga-peniaga ini berniaga di kawasan ini 10 tahun yang lepas, mereka bersetuju untuk membuat pembangunan.

“Tetapi, oleh kerana pembangunan mengambil masa begitu lama lebih daripada 10 tahun, ramai pelanggan mereka lari. Apabila pasar baru ini siap, pindah ke dalam tak ada orang nak datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kompleks Pasar Raja Bot, di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, pembangunan di kawasan berkenaan lebih memfokuskan kepada kedai-kedai berbanding tempat letak kenderaan menyebabkan jalan tersebut sesak.

“Pasar ini unik kerana pasar ini melibatkan berbilang bangsa, bukan hanya satu kaum sahaja.

“Jadi, saya punya peranan ialah untuk melihat bagaimana kita boleh susun balik dengan jawatankuasa persatuan-persatuan peniaga di kawasan. Mereka ini ramai persatuan di sini, jadi kita nak susun supaya mereka sepakat,” ujarnya.

Jelasnya, perjumpaan yang diadakan dengan DBKL nanti turut melibatkan Pengarah Penjaja DBKL, Pengarah Bahagian Pembangunan dan pemaju.

“Perjumpaan ini supaya kita dapat bincang, susun semula fasanya kerana mungkin bahagian yang nak bina parkir ini akhir sekali.

“Jadi, saya minta pada DBKL sementara kita menyelesaikan isu ini, notis-notis yang diberi ini kena ambil maklum bahawa mereka ini bukan tidak mahu berniaga, tetapi bila mereka ke pasar baru, pendapatan satu hari RM10 ke RM20 sahaja.

“Jadi, bukan salah mereka. Ambil kira isu yang mereka hadapi dan saya akan bersama-sama memperjuangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI