fbpx

Bandar Ikhwan Batu Hampar lengang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana lengang di perkampungan GIBSH atau dikenali Bandar Ikhwan telah disita pihak polis dengan pita kuning polis di Batu Hampar Dalam di Beruas ketika tinjauan, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

BERUAS – Perkampungan GISB Holdings (GISBH) yang dikenali sebagai Bandar Ikhwan di Kampung Batu Hampar Dalam, di sini sudah ditutup sejak empat minggu lalu.

Tinjauan mendapati kawasan itu agak lengang, manakala perkampungan tersebut yang turut mempunyai rumah penduduk disita dengan pita polis.

Sebuah bangunan pejabat dan dua buah kedai serta sebuah bangunan setingkat mempunyai lima kelas bertulis Sekolah Agama Rakyat Imam Syafie turut direntang pita kuning.

Pada batu tanda tertulis Maahad Imam As-Sayuti turut ditampal memo Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertarikh 27 September lalu yang mengarahkan penutupan operasi sekolah tersebut.

Memo itu tertulis sekolah agama itu diarah tutup kerana didapati melanggar Enakmen Kawalan-kawalan Sekolah Agama Islam 1996, Bahagian III Pendaftaran Sekolah-sekolah Subseksyen 5(1) kerana belum berdaftar dengan JAIPk.

Selain maahad, perkampungan berkeluasan kira-kira 4.8 hektar itu turut memuatkan kedai runcit, kedai makan, pejabat, beberapa rumah kediaman kakitangan, tasik kecil dan kawasan peliharaan haiwan seperti bangsal kuda dan sangkar arnab.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Syarqawi Abu Hassan, 29, mendakwa, penghuni perkampungan itu mengosongkan premis sejak isu GISBH mula hangat dilaporkan oleh media, bulan lalu.

Katanya, terdapat kira-kira 70 pelajar dan kakitangan di maahad tersebut yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

“Mereka selalu menjemput orang kampung untuk hadir pada program yang dianjurkan. Bagaimanapun sejak isu GISBH hangat diperkatakan, mereka mengosongkan premis tersebut dan haiwan peliharaan juga tiada,” katanya.

Malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Ummu Atiyah, anak sulung bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad akan menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung selama sebulan di perkampungan GISBH di Batu Hampar hari ini.

Tinjauan di lokasi mendapati, tiga anggota polis berpakaian preman tiba dengan menaiki kereta jenis Proton Persona pada pukul 12.07 tengah hari dan masuk ke kawasan perkampungan itu sebelum beredar 12 minit kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI