PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, penyanyi Stacy Anam mengumumkan penarikan diri daripada penganjuran Konsert Sumandak Stars.
Pengumuman itu dibuat pihak pengurusannya iaitu Rythm & Rhyme Entertainment menerusi satu hantaran dalam akaun Instagram beberapa hari selepas sidang media konsert tersebut.
“Kami dari pihak pengurusan dengan rendah hati ingin memaklumkan bahawa Stacy tidak akan terlibat dalam Konsert Sumandak Stars atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat diperincikan.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai pemahaman anda,” demikian kenyataan rasmi tersebut.
Sementara itu, menerusi temu bual Stacy bersama sebuah program hiburan, dia memberitahu terpaksa menarik diri kerana ada syarat yang tidak dapat dipatuhi.
“Sebenarnya sewaktu pertama kali ditawarkan untuk terlibat dengan konsert ini, saya tolak.
“Pada awalnya konsert ini diberi nama Bella And Friends. Tetapi saya tolak disebabkan ada kerja lain.
“Bila saya terima saya ada letakkan beberapa syarat. Penting untuk mereka tahu apa yang boleh dan apa yang tak boleh,” katanya.
Menerusi komen balas dalam hantaran tersebut, rata-rata peminat dilihat bersedih dengan keputusan secara tiba-tiba itu.
“Tapi kenapa? Jujur cakap saya beli tiket sebab nak tengok Stacy sahaja,” komen peminat yang bersedih.
Terdahulu, timbul isu peminat yang tidak berpuas hati apabila poster konsert tersebut mempamerkan gambar Bella Astillah di bahagian tengah seolah-olah dia adalah penyanyi utama.
Konsert Sumandak Stars menampilkan penyanyi-pemyanyi kelahiran negeri di bawah bayu termasuklah Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie dan Didi Astillah.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 November depan di Zepp Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE