PETALING JAYA – Tular video memaparkan seorang pemandu wanita yang memakai niqab mengamuk dan didakwa cuba menyerang pelanggan lain di sebuah stesen minyak di Saujana Utama, Sungai Buloh kelmarin menggunakan sebatang buluh.
Rakaman sekitar satu minit lima saat itu turut memperlihatkan wanita terbabit menunjukkan gaya penumbuk kepada seorang lelaki ketika individu tersebut ingin meredakan situasi tegang yang berlaku.
Difahamkan, punca kekecohan tersebut berlaku apabila kenderaan wanita terbabit menghalang kenderaan pengguna lain di stesen minyak berkenaan dan ketika diminta untuk mengalihkannya, timbul perselisiham faham dalam kalangan individu terlibat.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 11.36 malam, kelmarin.
Katanya, seorang lelaki berusia 24 tahun bekerja sebagai penyelia stesen minyak memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada pukul 7.50 petang.
Wanita tersebut tiba di lokasi menaiki sebuah kereta sebelum meletakkannya di belakang kenderaan lain. Tindakan itu menyebabkan kenderaan lain gagal untuk keluar.
“Pada masa sama, pelanggan lain di lokasi meminta wanita tersebut mengalihkan kenderaanya namun dimarahi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE
KEJADIAN 7.50 malam di STESEN MINYAK HILLPARK, SAUJANA UTAMA semalam (17 Oktober).
Seorang pemandu wanita tempatan meletak keretanya hingga menghalang kereta lain keluar dari stesen minyak tersebut seterusnya menimbulkan kekecohan.
Laporan polis dibuat penyelia stesen terbabit… pic.twitter.com/PC9EdRLDJq
— MYNEWSHUB (@mynewshub) October 18, 2024