PETALING JAYA – Perunding kewangan, Mohd. Kauthar Rozmal berpandangan golongan T15 bukanlah kategori ‘mahakaya’ meskipun pendapatan isi rumah mereka melebihi RM13,500 sebulan.
Mohd. Kauthar menerusi perkongsian di TikTok berkata, sekiranya golongan T15 tinggal di kawasan pendalaman atau kos kehidupan rendah, maka pendapatan bulanan tersebut boleh dikatakan sangat selesa.
“Golongan T15 tidak sesuai digelar golongan ‘mahakaya’. Kalau pendapatan RM13,500 di Kelantan, Kedah atau pun di Pahang mungkin ia satu jumlah yang sangat banyak, memang sangat selesa. Tapi itu pun masih belum ‘mahakaya’ lagi.
“Apatah lagi kalau RM13,500 itu di kawasan Lembah Klang, mereka masih dikira biasa-biasa sahaja. Nak kata kaya pun tak, nak kata susah puk tak.
“Orang-orang seperti ini tidak pakai kereta BMW, mereka tidak duduk rumah-rumah gated (berpagar), mereka tidak melancong menggunakan ‘bisness class’. Jadi bagi saya mereka ini masih tergolong dalam kumpulan pertengahan,” katanya.
Mohd. Kauthar berkata, jurang perbezaan antara T20 dan T15 adalah sangat sedikit dan secara asasnya mereka tidak layak digelar ‘mahakaya’.
“Yang berbeza kita boleh lihat adalah golongan T1, mereka ini kita boleh kategorikan sebagai golongan ‘mahakaya’. Ini kumpulan yang ada jet peribadi, juruterbang peribadi,
“Untuk kata golongan T15 ‘mahakaya’ adalah tidak adil,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
@kautharrozmalSiapa sebenarnya golongan mahakaya?