KUALA LUMPUR – Hari suram buat skuad berbasikal trek negara pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang berlangsung di Ballerup, Denmark hari ini.
Apa tidaknya, harapan yang diletakkan kepada pasangan adik beradik, Shah Firdaus dan Ridwan Sahrom dalam acara pecut individu lelaki lebur apabila kedua-dua pelumba itu tersingkir di pusingan pertama.
Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Ballerup Super Arena itu, Shah terpaksa akur selepas tewas kepada Joseph Truman dari Great Britain manakala Ridwan gagal mengatasi pelumba Jepun, Yuta Obara.
Terdahulu, Shah menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-22 daripada 30 pelumba menerusi catatan masa 9.940 saat (s), namun ia masih jauh daripada catatan terbaik peribadi (PB) 9.635s yang dilakukan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, aksi seperti itu memang sudah dijangka memandangkan dia dilaporkan mengalami jangkitan virus dan demam panas sebelum kejohanan berlangsung lagi.
Sementara itu, Ridwan pula gagal melakukan catatan masa di bawah 10s dalam pusingan kelayakan apabila mencatat 10.004s untuk berada di kedudukan ke-25.
Dalam acara 500 meter ujian masa wanita, Izzah Izzati Mohd. Asri menamatkan aksi kelayakan di tempat ke-17 selepas mencatat 34.548s manakala Anis Amira Rosidi di kedudukan ke-23 (36.044s) dengan lapan pelumba terbaik layak ke aksi final.
Kedua-dua pelumba itu bagaimanapun masih berpeluang untuk menebus kekecewaan apabila dijadualkan beraksi dalam acara keirin wanita esok. – KOSMO! ONLINE