LAUSANNE, Switzerland – Berpuluh-puluh negara menyatakan komitmen untuk membantu membersihkan hampir satu perempat kawasan di Ukraine yang dicemari dengan periuk api dan bahan letupan.
Semasa persidangan dua hari di Switzerland, lebih 40 negara menyokong pelan Seruan Lausanne untuk Tindakan dan komited terhadap usaha konkrit ke arah memindahkan periuk api di Ukraine, kata pihak penganjur.
“Ukraine telah menjadi negara yang paling banyak periuk api di dunia,” kata Perdana Menteri negara itu, Denys Shmyhal pada persidangan tersebut.
Beliau berkata, sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022, kira-kira satu perempat kawasan di Ukraine telah ditanam dengan periuk api dan bom yang tidak meletup.
“Skala cabaran ini benar-benar besar. Kami bercakap tentang kawasan seluas kira-kira 140,000 kilometer persegi, hampir tiga kali ganda daripada saiz Switzerland,” ujarnya.
Beliau merujuk kepada anggaran pakar bahawa sehingga 9,000 orang awam berisiko kehilangan nyawa jika tindakan tidak diambil untuk membersihkan periuk api.
Sementara itu, Menteri Luar Switzerland, Ignazio Cassis menegaskan kepentingan periuk api itu untuk dibersihkan dengan segera.
“Jika periuk api tidak dipindahkan, anda tidak akan mempunyai pengeluaran pertanian, tidak boleh memberi orang makan, tidak boleh membiarkan kanak-kanak bermain dan tidak boleh membangunkan industri,” katanya pada sidang akhbar.
Bank Dunia menganggarkan bahawa pembersihan periuk api di Ukraine akan menelan kos sekitar AS$37 bilion (RM160 bilion) dan ia dijangka meningkat. – AFP