fbpx

Permohonan sijil halal dipercepatkan kepada 15 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENSIJILAN halal bukan sahaja penting untuk menyakinkan pengguna, tetapi turut memastikan makanan yang ditawarkan dalam keadaan bersih.

KUANTAN – Tempoh permohonan bagi mendapatkan sijil halal dipercepatkan kepada 15 hari berbanding 23 hari sebelum ini dalam usaha memantapkan lagi pengurusan sijil halal di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan tempoh baharu itu sudah dimulakan dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pelbagai pihak termasuk swasta.

Katanya, Bajet 2025 yang turut menyediakan 100 juruaudit baharu untuk pensijilan halal dilihat amat bertepatan dengan usaha mempercepatkan proses kelulusan permohonan sijil halal berkenaan.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memendekkan tempoh itu namun kita lihat bahawa mereka memerlukan juruaudit halal dan kita juga melakukan permohonan secara dalam talian.

“Sekarang sedang berjalan (tempoh 15 hari), 23 hari (tempoh permohonan sebelum ini sudah capai, dulu sembilan bulan, enam bulan, tiga bulan saya minta 23 hari,”katanya dalam sidang akhbar pada Program Halal On Track (HOT) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini Jakim telah bekerjasama dengan lima institusi pendidikan tinggi bagi menyediakan juruaudit halal ini yang turut akan menjadi pegawai yang menentukan piawaian halal dan mereka ditempatkan di syarikat yang telah ada sijil halal.

Beliau memberitahu berdasarkan data permohonan sijil halal di peringkat domestik jelas menunjukkan peningkatan dalam permohonan sijil halal setiap tahun.

“Pada 2023 kita menerima 15,605 permohonan, meningkat daripada 14,977 pada tahun sebelumnya dan sehingga September 2024 sebanyak 14,707 permohonan telah diterima.

“Saya percaya percaya angka ini akan mencecah lebih 16,000 , lebih-lebih lagi dengan usaha yang dilakukan seperti pelaksanaan HOT ini,”ujarnya. – KOSMO11 ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI