PETALING JAYA – Seorang wanita yang dibuang kerja selepas tular gambarnya menghidu dan menyentuh doh menggunakan mulut ketika bekerja di sebuah rangkaian kiosk pretzel terkenal kembali menjadi bualan netizen.
Difahamkan, selepas kejadian tular tersebut, wanita itu berjaya mendapat pekerjaan lain di sebuah keadai aiskrim terkenal dengan cara menyembunyikan identiti sebenarnya.
Bagaimanapun, selepas ia terbongkar, dia dibuang kerja serta-merta oleh pihak majikan.
Terbaru, wanita itu sekali lagi berkongsi gambar ‘selfie’ di sebuah restoran ayam panggang terkemuka di ibu negara dengan mendedahkan dirinya telah memulakan kerja di sana.
Wanita ini dilihat turut memuatnaik gambar ayam panggang di bahagian dapur restoran terbabit sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai terutama melibatkan tahap kebersihan makanan tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak restoran terbabit dengan pantas memaklumkan pekerja wanita itu telah diberhentikan pada hari sama dia memulakan kerja.
“Semasa proses temu duga, wanita itu tidak memaklumkan sepenuhnya tentang sejarah kerjanya yang lalu.
“Berikutan itu, beliau telah melapor diri untuk bertugas pada hari ini (semalam) dan kemudiannya memuat naik beberapa gambar kawasan sulit premis kami di akaun media sosial peribadinya, yang telah melanggar polisi syarikat.
“Sehubungan dengan itu, dia telah diberhentikan serta-merta dan meninggalkan premis kami. Bagi memastikan keselamatan semua pihak, kami telah mengambil langkah segera dengan melakukan sanitasi menyeluruh dan memastikan tiada risiko lanjutan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan restoran terbabit. – KOSMO! ONLINE