KUALA NERANG – Setelah lebih setahun menanggung derita akibat kanser retinoblastoma tahap empat, Muhammad Faqqeh Adha Abu Soffian, 2, akhirnya pergi menghadap Ilahi kira-kira pukul 5.25 petang tadi.
Menurut bapanya, Abu Soffian, anak bongsu daripada 11 beradik itu meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah mereka di Kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak dekat sini hari ini.
“Kami pulang rumah kira-kira pukul 11 pagi tadi selepas Muhammad Faqqeh menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) . Tiba di rumah dia makan, minum dan bermain seperti biasa sebelum tertidur, namun pukul 5.25 petang tadi, Muhammad Faqqeh disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abu Soffian berkata, jenazah Muhammad Faqqeh akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Mukim Tualak dan beliau berterima kasih kepada semua pihak yang pernah membantu serta mendoakan Muhammad Faqqeh sebelum ini.
Muhammad Faqqeh mula dikesan menghidap penyakit itu setelah dia diserang demam panas ketika berusia sembilan bulan sebelum kanser itu menyerang saraf mata kanannya hingga menyebabkan benjolan yang kadangkala berdarah. – KOSMO! ONLINE