MELAKA – Salah seorang calon yang lulus Program MyLesen B2 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka 2024 di sini menitiskan air mata apabila berjaya memiliki lesen memandu kelas B2 selepas hampir 37 tahun menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
Calon berkenaan, Osman Baba, 55, berkata, sebelum ini dia telah lima kali gagal Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) atau ujian berkomputer gara-gara kurang pandai membaca,
“Alhamdulillah kali ini saya lulus. Sejak usia 18 tahun saya ambil risiko tunggang motosikal tanpa lesen,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program MyLesen B2 JPJ Melaka 2024 dan Hari Eksplorasi Keselamatan Jalan Raya 2024 di Banda Hilir di sini hari ini.
Osman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil berkata, hasil tunjuk ajar pegawai dan anggota JPJ menyebabkannya berjaya lulus Ujian KPP dengan cemerlang.
“Sudah banyak kali saya ditahan penguat kuasa JPJ dan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen ketika berulang-alik ke tempat kerja. Memang sukar nak digambarkan perasaan ini, sebak seperti tidak percaya saya akhirnya mempunyai lesen motosikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE