SELAYANG – Kelekaan saat akhir menyaksikan tiga mata yang diimpikan Selangor FC tidak menjadi kenyataan apabila diikat 1-1 oleh PDRM FC di Stadium Selayang, sebentar tadi.
Lebih sukar, Red Giants yang mendominasi permainan nyata gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik malah jaringan penyamaan The Cops juga terhasil ketika tuan rumah beraksi 10 pemain.
Terdahulu, kerja keras yang dilakukan Quentin Cheng pada minit ke-16 pantas membuahkan hasil apabila Alvin Fortes bijak melakukan penyudah bagi meletakkan Selangor FC di depan.
Minit ke-31, Fortes sekali lagi mencetuskan situasi cemas kepada kem PDRM FC sebaliknya gerakannya pantas dikesan offside oleh pengadil perlawanan.
Empat belas minit selepas aksi bersambung, Red Giants seakan dihimpit malang apabila tonggak tengahnya, Noor Al-Rawabdeh terpaksa diusung keluar selepas dilihat mengalami kecederaan lutut.
Disebalik penguasaan yang dipamerkan, pengendali Selangor, Nidzam Jamil terus berada dalam situasi sukar hingga menyaksikannya terpaksa mengeluarkan Fortes, juga kerana isu kecederaan.
Tempoh enam minit masa tambahan babak kedua sekan menjadi titik hitam buat pelawat apabila pemain gantian PDRM FC, Aremu Timothy bijak mengambil kesempatan untuk meledak gol penyamaan. – KOSMO! ONLINE