KUALA LUMPUR – Faktor keletihan kerana terpaksa hadir ke Kuala Lumpur menggunakan bas dianggap sebagai salah satu faktor kepada kekalahan 1-3 Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kepada Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin.
Malah pemain yang diturunkan juga dilihat gagal untuk merencanakan perancangan yang diatur oleh pengendali pasukan, Park Jae-hong sekaligus membuka ruang buat KL City pamer kebangkitan.
“Kami datang ke Kuala Lumpur dengan bas dan pastinya ia bukan sesuatu yang mudah buat pemain. Di babak pertama kami bermula agak perlahan tetapi permainan kami bertambah baik di babak kedua.
“Sebenarnya selepas kami dapatkan gol, saya harapkan pemain dapat kekalkan momentum tetapi semua gol pasukan lawan terhasil kerana kami kurang fokus. KL City adalah pasukan yang bagus tetapi pemain kami tidak dapat penuhi jangkaan daripada barisan kejurulatihan.
“Saya harap penyokong juga faham, bola sepak perlukan fokus 100 peratus dan sekarang kami perlu terus melihat ke depan,” katanya.
Terdahulu, KDN FC berjaya mengikat KL City tanpa jaringan di babak kedua dan kelab dari Kelantan itu memulakan aksi di babak kedua dengan positif apabila membuka jaringan menerusi bintang importnya, Washington Brandao.
Bagaimanapun keceriaan KDN FC hanya bertahan tujuh minit apabila Nicholas Swirad kembali menyamakan kedudukan sebelum kapten The City Boys, Paulo Josue meledak dua lagi gol. – KOSMO! ONLINE