fbpx

‘Kak, adik nak balik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hayati Che Mat (duduk kiri) tidak dapat menahan perasaan ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Firasat seorang wanita bahawa suatu insiden buruk menimpa adiknya menjadi nyata apabila dia ditemukan lemas di sungai berdekatan Kampung Padang Terus di sini semalam setelah lima hari dilaporkan hilang.

Hayati Che Mat, 49, berkata, adiknya, Mohd. Faiz, 33, yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) kategori pembelajaran ditemukan terdampar di sungai itu kira-kira pukul 5.30 petang oleh penduduk kampung yang lalu lalang di kawasan tersebut.

Menurutnya, pada hari yang sama dia yang menetap di Sungai Buluh, Selangor termimpikan adik bongsu daripada lapan adik beradik itu yang datang dalam keadaan tersenyum.

“Waktu itu saya terlelap dan bermimpikan arwah. Arwah cakap, “Kak, adik nak balik.” sambil tersenyum sebelum hilang. Saya terjaga dikejutkan oleh azan asar.

“Hati saya berdebar-debar tetapi agak lega kerana mungkin adik akan ditemui hari ini (semalam). Namun pada pukul 6 petang, adik saya, Nurul Hazami telefon beritahu adik sudah jumpa tetapi tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Hayati bersama anggota keluarga yang lain berhimpun di HSB sejak awal pagi untuk proses pengecaman dan tuntutan jenazah mangsa selepas bedah siasat.

Bercerita lanjut, kata Hayati, arwah dikatakan keluar rumah mereka di Kampung Pulau Binjal, Tajar di sini dengan menunggang basikal pada pukul 5 petang, Ahad lepas.

“Arwah memang suka naik basikal ronda kampung tetapi dia tak akan pergi jauh. Paling jauh kampung sebelah sahaja. Selalunya akan pulang rumah sebelum pukul 7 malam, sebab itu bila dia tak balik pukul 7 malam hari itu semua keluarga kerisauan dan mula mencarinya di kawasan sekitar. Kawasan arwah ditemukan itu pun mereka sudah cari tapi tak jumpa apa-apa.

“Apa pun kami sekeluarga reda. Sekurang-kurangnya arwah ditemui walaupun sedih sangat sebab dia seorang anak yang baik dan paling rapat dengan saya. Selama 33 tahun ini, dia tidak pernah menyusahkan kami sekeluarga apa pun walaupun keadaannya OKU. Dia suka tolong orang dan rajin bekerja ambil upah buat bendang walaupun kami cakap tak perlu bekerja pun. Ayah (Che Mat Jusoh, 70) pengsan bila dapat tahu berita ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di tebing sebatang sungai dekat sini, setelah lima hari dia dilaporkan hilang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI