MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik ten Hag pening kepala apabila tiada pemain yang sesuai untuk mengisi posisi bek kiri menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Brentford di Stadium Old Trafford malam ini.
Namun, masalah yang lebih besar dihadapi oleh The Red Devils ketika ini adalah kegagalan mempamerkan prestasi konsisten di atas padang selain tidak menang dalam lima perlawanan kompetitif yang terakhir.
Malah, beberapa tonggak utama seperti Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho juga tidak mampu untuk meledak gol sekali gus menyaksikan pasukan hanya mampu mengutip lapan mata daripada tujuh perlawanan.
Selain itu, United turut mengalami kepincangan di posisi benteng apabila tiada pemain posisi bek kiri yang cergas ketika ini selepas Luke Shaw dan Tyrell Malacia mengalami kecederaan, manakala Diogo Dalot akan beraksi di bek kanan bagi menggantikan Noussair Mazraoui.
Situasi tersebut mungkin memberi ruang buat Ten Hag untuk menguji pemain remaja, Harry Amass bagi diletakkan dalam kesebelasan utama di posisi bek kiri atau meletakkan pemain berpengalaman, Victor Lindelof dan Johnny Evans.
Menurut Dalot, di mana sahaja posisi yang diletakkan dalam perlawanan kali ini semua pemain wajib memberikan seratus peratus di atas padang bagi memastikan kemenangan dapat dihadiahkan buat penyokong setia nanti.
“Secara peribadi, saya rasa musim ini saya telah bermain dengan konsisten dan ikut sahaja arahan yang diberikan oleh jurulatih. Saya kekal positif dengan keupayaan pasukan dan mahu semua pemain berikan yang terbaik nanti,” katanya. – AGENSI