fbpx

Dana RM30 juta dijangka tarik 16,000 anak muda kuasai seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki menyambut baik pengumuman peruntukan RM30 juta untuk program Belia Kreatif Madani yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Usaha tersebut dijangka menarik hampir 16,000 anak muda untuk menceburi bidang seni melalui pelbagai aktiviti kreatif seperti bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem dan pertandingan filem pendek.

Afdlin berkata, inisiatif itu seiring dengan matlamat FDAM untuk memperkasa generasi muda dalam industri kreatif tanah air, terutamanya dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem. Beliau menyatakan bahawa usaha ini adalah satu langkah penting dalam memastikan penglibatan generasi baru dalam bidang seni dan seterusnya mencipta karya yang berkualiti.

“Sebagai Pengerusi FDAM, saya amat berbangga dengan usaha kerajaan untuk memberi tumpuan kepada generasi belia melalui program Belia Kreatif Madani. Ini bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk menceburi bidang seni, tetapi turut memperkukuhkan lagi industri kreatif Malaysia.

“Kami sentiasa menyokong pendekatan seperti ini kerana sejajar dengan misi kami untuk membangunkan bakat-bakat baharu serta menyediakan platform terbaik dan kukuh bagi mereka berkembang.

“Kami berharap dengan sokongan kerajaan ini, FDAM dan industri filem dapat melahirkan lebih banyak bakat yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa termasuk peluang menyediakan latihan dan bimbingan,” katanya.

Tambahnya, program seperti Bengkel Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 menjadi salah satu pendekatan bagi membuktikan pihaknya komited dalam membimbing barisan pengarah muda dengan menyediakan latihan praktikal dan peluang jaringan industri.

“Inisiatif Belia Kreatif Madani ini adalah kesinambungan daripada penganjuran bengkel inkubator yang pernah dianjurkan. Kami ingin memberi ruang kepada belia untuk memajukan diri mereka dalam bidang kreatif, dari pengarahan filem hingga penerbitan.

“Kami mahu memberi program ini menjadi satu dorongan besar untuk mengasah bakat baru dan menghasilkan karya-karya berkualiti yang mampu bersaing di peringkat dunia. Program ini bukan sekadar latihan, tetapi juga satu pelaburan untuk masa depan industri kreatif kita,” katanya.

Pengarah dan pelakon filem Harimau Malaya: The Untold Journey itu turut menggalakkan golongan belia untuk merebut peluang yang ditawarkan kerajaan dengan menyertai program anjuran FDAM agar dapat mewujudkan persekitaran lebih dinamik dan inklusif dalam industri seni kreatif negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI