fbpx

Dana besar pacu sektor sukan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei (kiri) dan Nur Izzuddin Rumsani turut menerima pujian daripada Anwar kerana mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan antarabangsa. – AFP

KERAJAAN akan terus memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan sukan tanah air apabila mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta buat warga sukan pada pembenta­ngan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Parlimen semalam.

Berita gembira tersebut di­umumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memantapkan ekosistem sukan negara, termasuk program po­dium, latihan intensif atlet dan juga Road to Gold (RTG) ter­utama persiapan menjelang Sukan ­Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris. Ini termasuk pencapaian Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang me­rangkul pingat emas. Pembangunan sukan negara terus diper­hebat dengan peruntukan lebih RM230 juta,” katanya.

Sebahagian daripada peruntukan tersebut turut disasarkan kepada pembangunan sukan para, persediaan menghadapi Deaflympic Tokyo 2025 dan juga meliputi kerja-kerja menyelenggara serta membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara selain geran padanan sukan bagi menggalakkan penganjuran pertandingan sukan oleh ­persatuan dan NGO.

Bagi menyokong pembangunan bola sepak kebangsaan, RM15 juta turut diperuntukkan untuk memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

“Bagi menyokong pemba­ngunan sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada Harimau Malaya, pasukan bawah 18 (B-18) dan B-13 dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan serta ganjaran setimpal kepada pemain,” tambahnya.

Kerajaan juga mengiktiraf kejayaan Selangor Red Giants selepas dinobatkan sebagai juara Piala Dunia e-Sukan 2024 bagi permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB).

Kejayaan itu memastikan kerajaan akan terus menyokong dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk memperkasa ekosistem dan pembangunan bakat serta menaik taraf arena e-Sukan ­tempatan.

Kriket turut mendapat perhatian dengan peruntukan RM1 juta untuk pembangunan sukan itu.

Selain itu, kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah kemenangan diterima atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diuruskan oleh Majlis Sukan ­Negara (MSN).

Selaras usaha menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, kerajaan telah memperuntukkan RM27 juta bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rak­yat termasuk penganjuran Hari ­Sukan Negara.

Inisiatif itu bertujuan mempromosi gaya hidup sihat dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan di seluruh negara.

Dalam usaha berterusan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif, kerajaan juga bercadang untuk memperluaskan pelepasan cukai bagi perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan kepada ibu bapa.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi menambah baik dan memperkukuhkan ekosistem atlet bagi Program Podium terma­suk RM20 juta pelaksanaan Road to Gold (RTG) selain RM12 juta diperuntukkan untuk atlet para.

Selain itu, sejumlah RM50 juta turut disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya prasarana yang daif selain dana geran padanan sebanyak RM50 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI