KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima laporan daripada anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol seorang pemimpin GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sekiranya ada laporan polis dibuat oleh wanita berkenaan, siasatan akan dijalankan pihaknya berhubung dakwaan itu.
“Kita akan kesan mangsa dan jika ada laporan dibuat siasatan akan dijalankan ke arah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan Ummu Atiyah mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa pada tahun 2015.
Dakwa Ummu, dia menolak untuk berkahwin dengan lelaki tersebut kerana seorang yang tua, boroi dan menjijikan.
Dimaklumkan, pemimpin GISBH itu ingin menjadikannya sebagai isteri keempat secara paksa dengan mendakwa arahan supaya mengahwininya datang daripada Abuya dan Rasul.
Dakwa wanita itu, dia dalam keadaan terpaksa menyerah diri dan diminta bersalam dengan lelaki berkenaan sebagai tanda setuju berkahwin tetapi Ummu Atiyah mendakwa menolak untuk melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, apabila bertindak demikian, dia dipisahkan dengan anaknya dan dilarikan ke Turki serta didera kerana enggan memenuhi kehendak pemimpin GISBH itu untuk bersama sehinggalah dirogol.
Wanita itu juga mendakwa dia pernah dicucuh dengan pemetik api dan direndam di dalam kolam.
11 September lalu, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH menerusi Op Global.
Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit. – KOSMO! ONLINE.