PETALING JAYA – Tiada rakyat Malaysia berpendapatan kurang RM1,100 sebulan selepas pelbagai inisiatif serta bantuan tunai ditingkatkan menerusi Belanjawan 2025 yang diumumkan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil langkah menerusi peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, ini termasuk 4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan tambahan melalui program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Kadar maksimum STR ditambah dengan Sara untuk isi rumah meningkat kepada RM4,600. Selain itu, Bantuan Warga Emas pula meningkat kepada RM600 sebulan.
“Seterusnya, Bantuan Kanak-Kanak Keluarga Miskin ditingkatkan kepada RM250 (6 tahun ke bawah) dan RM200 (7 hingga 18 tahun), selain Kadar Bantuan Am untuk Wilayah Persekutuan meningkat kepada RM150,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Anwar berkata, menerusi bantuan STR ditambah lagi dengan Sara serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menjadikan tiada rakyat berpendapatan kurang RM1,100 sebulan.
Katanya, jumlah itu belum mengambil kira bantuan zakat, yayasan atau kerajaan negeri.
Semalam, Anwar berkata, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan, yang mana jumlah penerima pada tahun hadapan meningkat berbanding 700 penerima tahun ini.
Untuk tahun depan, kerajaan memberi Sara iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion, dengan peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Bagi bantuan tunai di bawah JKM pula, sebanyak RM2.9 bilion diumumkan menerusi Belanjawan 2025 berbanding RM2.4 bilion untuk tahun ini. – KOSMO! ONLINE