PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta bagi menghadiri Upacara Pelantikan Presiden dan Wapres Republik Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi hantaran ringkas di Facebook hari ini.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Jakarta petang ini usai acara di Sabah.
“Esok saya akan menghadiri Upacara Pelantikan Presiden dan Wapres Republik Indonesia, insya-Allah,” katanya
Anwar mengadakan lawatan kerja ke Indonesia dari 19 hingga 20 Oktober atas undangan Kerajaan Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden kelapan dan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden.
Selain itu, Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden baharu itu.
Prabowo menggantikan Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang berkhidmat sebagai Presiden Indonesia ketujuh selama dua penggal (2014-2019 dan 2019-2024). – KOSMO! ONLINE