fbpx

Anwar hadir majlis pelantikan Presiden, Naib Presiden baharu Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Indonesia bermula hari ini atas undangan kerajaan negara berkenaan bagi menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia kelapan.

Kementerian Luar (KLN) dalam satu kenyataan berkata, ia termasuk meraikan majlis pelantikan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka yang diadakan di Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR), esok.

Jelas KLN, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden baharu tersebut.

“Prabowo Subianto mengambil alih daripada Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia ketujuh selama dua penggal (2014–2019 dan 2019–2024)

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas peranan Joko Widodo dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia,” kata kenyataan itu hari ini.

KLN memaklumkan, kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan kesinambungan hubungan rapat di antara kedua-dua negara di bawah pentadbiran baharu Prabowo Subianto.

Ujar KLN, lawatan itu melambangkan ikatan hubungan dua hala istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi kerjasama erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.

Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ke-7 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-3 terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan mencapai AS$24.39 bilion (RM111.21 bilion). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI