fbpx

Aksi terakhir dua seteru tenis dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADAL (kiri) bakal bertarung buat kali terakhir menentang Djokovic hari ini sebelum bersara sepenuhnya. - AFP

DUBAI –  Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal mempunyai peluang terakhir untuk bertemu dengan pesaing lamanya, Novak Djokovic, sebelum beliau mengakhiri kerjaya cemerlangnya dengan kedua-duanya dijadualkan berentap di acara pameran Six Kings Slam di Arab Saudi.

Nadal tewas 6-3 6-3 kepada Carlos Alcaraz dalam separuh akhir pada hari Khamis, yang membawa beliau ke perlawanan tempat ketiga menentang Djokovic, yang ditewaskan 6-2 6-7(0) 6-4 oleh Jannik Sinner.

Pemain nombor satu dunia, Sinner akan bertemu Alcaraz dalam perlawanan akhir di Riyadh, di mana pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $6 juta (RM25.8 juta).

“Berjumpa dengan Novak sekali lagi pasti penuh emosi dan nostalgia. Kami sudah melalui begitu banyak perlawanan bersama. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik buat saya,” kata Nadal.

Juara Grand Slam 22 kali itu, yang mengumumkan persaraannya minggu lalu, telah berhadapan dengan Djokovic dalam 60 perlawanan yang terbanyak dalam tenis lelaki dan telah menang sebanyak 29 kali berbanding 31 kemenangan oleh Djokovic.

Kali terakhir kedua-dua legenda tenis itu bertemu adalah di Sukan Olimpik Paris, di mana Nadal tewas 6-1, 6-4 kepada juara Grand Slam 24 kali itu dan perlawanan terakhir itu dijangka menjadi sorotan dalam kalendar tenis tahun ini, melibatkan dua pemain yang telah mengukir sejarah dalam dunia tenis.

Selain itu, Nadal juga dijangka bergandingan bersama Alcaraz dalam acara beregu di Sukan Olimpik, dan bakal menyertai skuad Sepanyol di Piala Davis Final 8 pada November ini di Malaga. 

“Dari segi emosi, saya pasti akan bersedia. Dari segi fizikal dan tahap permainan, masih ada sebulan untuk bersiap. Jika saya tidak rasa bersedia untuk acara perseorangan, saya akan menjadi orang pertama yang memberitahunya dan kita lihat jika saya boleh membantu dengan cara lain,” tambahnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI