AUSTIN, Amerika Syarikat – Max Verstappen bertekad untuk memulihkan kempen pemburuan gelaran dunia Formula Satu (F1) 2024 dengan menamatkan kemarau kemenangan yang kini berlanjutan hingga lapan pusingan perlumbaan.
Pemandu Red Bull Racing tersebut berdepan tekanan terutama menerusi pelumba McLaren, Lando Norris yang dilihat pencabar perebutan gelaran dunia apabila hanya dipisahkan 52 mata untuk merampas takhta kemenangan daripada Verstappen.
Justeru, Verstappen berharap Red Bull dapat memperbaiki kelemahan pada jenteranya untuk menewaskan Norris dan mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dengan mencipta kemenangan pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat hujung minggu ini.
“Saya rasa jentera Red Bull semakin baik terutama di GP Singapura. Pasukan telah mengambil langkah baik untuk meletakkan prestasi jentera ke arah yang betul tetapi ia memerlukan masa.
“Anda tidak boleh mengubah sesuatu dalam satu atau dua minggu. Saya berharap dapat mempertahankan gelaran dalam baki enam perlumbaan termasuk tiga perlumbaan sprint,” kata Verstappen.
Verstappen tidak memenangi sebarang perlumbaan sejak GP Sepanyol dan Norris telah mengalahkannya dalam lima aksi terakhir sekali gus mencetuskan harapan untuk merangkul gelaran pemandu selain mengukuhkan kedudukan McLaren dalam kejuaraan pengeluar.
Sebanyak lapan mata tambahan dipertaruhkan minggu ini menerusi perlumbaan sprint esok sebelum menempuh tiga perlumbaan berturut-turut di Austin, Mexico serta Brazil sebelum berakhir di Las Vegas, Qatar dan Abu Dhabi.
Secara keseluruhan, masih ada 180 mata untuk direbut dan pelbagai kemungkinan mungkin berlaku selain Norris turut mengharapkan Verstappen mengalami masalah dan tidak mengutip sebarang mata.
“Ia akan jadi satu perlumbaan yang sangat sibuk tetapi juga mendebarkan dalam dua bulan akan datang. Saya sudah bersedia untuk kembali ke trek, mari kita tunjukkan apa yang kita mampu lakukan di Texas,” kata Norris. – AGENSI