fbpx

TP Link bekal kemudahan Wi-Fi-7 berkuasa AI di UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hugo Chai (kiri) dan Nor Badrul menunjukkan dokumen MoA di UM, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menggunakan teknologi Wi-Fi-7 terkini yang dibekalkan oleh TP Link Malaysia.

Wi-Fi-7 berkuasa kecerdasan pintar (AI) yang pertama di negara ini telah dipasang di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT) universiti berkenaan dan memberi manfaat kepada lebih daripada 700 pelajar.

Ini adalah sebahagian daripada hasil usaha sama yang dime­terai antara UM dengan TP Link Malaysia selama tiga tahun bertujuan untuk menawarkan ketersambungan yang pantas, tanpa gangguan dan konsisten serta dapat menguruskan trafik yang tinggi.

Kemudahan Wi-Fi-7 itu juga bakal memberi manfaat daripada aspek keselamatan yang telah diper­tingkatkan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk pembelajaran dan penyelidikan digital di kampus tersebut.

Pengarah Serantau TPLink Malaysia, Hugo Chai berkata, tempoh kerjasama itu berlangsung selama tiga tahun dan syarikat akan melabur kira-kira RM300,000 untuk menyediakan peralatan dan sokongan teknikal bagi melancarkan lagi kemudahan di kampus berkenaan.

Kemudahan Wi-Fi-7 telah dimanfaatkan oleh pelajar dan kami telah memasang lebih daripada 30 titik asas di dalam bangunan fakulti ini.

“Kami akan membuat pemasangan lebih banyak titik asas untuk meningkat kemudahan di sini pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) antara TP Link Malaysia dengan UM di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Maklumat UM, Prof. Ts. Dr. Nor Badrul Anuar Juma’at.

Chai menerangkan, MoA tersebut telah menjadi platform bagi syarikat untuk meningkatkan hubungan yang baik dengan ins­titusi pengajian tinggi itu sekali gus untuk pelan jangka panjangnya bakal memberi ruang kepada pelajar UM menjalani latihan industri di dalam Kumpulan TP Link yang memiliki beberapa anak syarikatnya di dalam dan di luar negara.

Mengulas lanjut, Chai berkata, rangkaian pintar yang ditawarkan syarikat, bakal meningkatkan prestasi dan keselamatan, memastikan pengalaman dalam talian yang lancar untuk semua pelajar dan kakitangan di kampus.

“Dengan keupayaan ­menyesuaikan diri secara pintar mengikut keperluan pengguna, sistem ini akan menyediakan akses internet yang pantas dan boleh dipercayai kepada pelajar, pensyarah, dan penyelidik bila-bila masa diperlukan,” ujarnya.

Selain itu, sistem ini juga mampu bertindak balas secara automatik terhadap ancaman keselamatan serta memudahkan pengurusan rangkaian melalui papan pemuka berpusat yang intuitif menjadikan sambungan lebih mudah dan cekap untuk semua.

“Projek ini telah mengundang minat daripada institusi pengajian tinggi yang lain untuk berbincang mengenainya selepas ini, kami sangat terharu dan berharap ia bakal memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI