fbpx

Tiada siapa bantu, nenek jaga lapan cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selemiah (kanan) dan Ali menceritakan mengenai keperitan hidup mereka ketika ditemui di PPS SK Kuala Slim, Tanjung Malim baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Sepasang warga emas sanggup mengetepikan usia lanjut mereka yang sudah mencecah 70 tahun bagi membanting tulang mencari rezeki semata-mata memastikan lapan cucu yang mereka sara tidak kelaparan dan mempunyai tempat tinggal.

Ali Mara dan Selemiah Ariffin tidak tergamak melihat cucu-cucu mereka berusia tujuh hingga 17 tahun yang telah dibela sejak empat tahun lalu kelaparan dan tiada tempat tinggal walaupun mereka sendiri ‘berperang’ de­ngan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Menurut Selemiah, mereka perlu menjaga cucu selepas anak menantu menumpang di rumah di Kampung Tengah, Kuala Slim di sini kerana sukar mendapat pekerjaan baharu di Kuala Lumpur pasca pandemik Covid-19.

“Memang sulit tetapi anak dan cucu kita pun tidak sanggup melihat mereka menderita, jadi diam tak diam sudah hampir empat tahun anak cucu me­netap dengan saya.

“Sekarang, anak dan menantu hanya kerja kampung dengan pendapatan harian yang tidak seberapa seperti menoreh pokok getah dan melakukan kerja-kerja ladang kelapa sawit sekitar Tanjung Malim,” katanya.

Pasangan itu ditemui ketika ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di sini.

Menurut Selemiah, dia dan suami hanya menjual hasil-hasil sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan yang dibeli daripada Orang Asli sekitar.

“Sebenarnya untuk mendapat RM1,000 sebulan pun sukar, lagi-lagi jika berlaku banjir langsung tidak ada. Kawasan kampung kami ini berlaku banjir setiap tahun.

“Cukup-cukup sahajalah dan jika terdesak sangat kami hanya makan apa yang ada sekali sehari untuk alas perut semata-mata,” katanya.

Ujar Selemiah, mereka sekeluarga makan apa sahaja yang ada lebihan sayur, ikan dan buah-buahan tidak terjual sekadar untuk mengisi perut.

“Kita orang tua bukan banyak sangat nak makan, tak lalu tetapi lapan cucu itu semakin membesar perlu makan yang banyak. Kami tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak setakat ini walaupun telah beberapa kali membuat permohonan.

“Bukan tidak minta selain beberapa kali turun dan naik pejabat tetapi jawapannya masih dalam proses sampai saya peringkat reda sahajalah.

“Rumah pun bahagian atas atapnya banyak yang telah rosak dan berlubang jika hujan habis tiris sehingga memaksa kami menadahnya dengan baldi,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Ali di 108159158654 atau ­menghubunginya di talian 016-452 7105.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI