fbpx

Sindiket penipuan kripto ‘Kakaue’ lesapkan lebih RM18 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 50 laporan berhubung kes penipuan pelaburan ‘Kakaue’ yang melibatkan nilai kerugian RM18.34 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beberapa serbuan dijalankan di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Johor pada 7 hingga 11 Oktober lalu.

“Hasil serbuan berjaya menahan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 19 dan 41 tahun.

“Individu berikut dikenal pasti sebagai pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, semua suspek berperanan sebagai pemilik syarikat keldai digunakan untuk menerima wang pelaburan daripada mangsa-mangsa yang menyertai skim pelaburan tersebut.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu mengiklankan tawaran pelaburan melalui Facebook dengan menggunakan nama syarikat ‘Kakaue’ yang kononnya berperanan sebagai broker pelaburan kripto.

“Mangsa berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diterangkan perihal pelaburan tersebut,” jelasnya.

Jelasnya lagi, mangsa kemudian akan diminta untuk memuat turun aplikasi pelaburan ‘Kakaue’ untuk mendaftar menjadi ahli.

“Setelah itu, mangsa perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan arahan bagi pembayaran wang pelaburan ke beberapa akaun syarikat.

“Melalui aplikasi yang dimuat turun, mangsa akan dapat melihat bahawa pelaburan mereka menjana keuntungan. Namun apabila ingin membuat pengeluaran, pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI