fbpx

PMVSB tambah baik infrastruktur keselamatan awam di Presint Merdeka 118

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ab Aziz (kiri) pada majlis pecah tanah projek pembangunan semula balai polis di Presint Merdeka 118 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA- Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMVSB) komited untuk menambahbaik infrastruktur keselamatan awam di pusat bandar Kuala Lumpur (KL) dengan mengendalikan projek pembangunan semula Balai Polis Tun H.S. Lee di Presint Merdeka 118.

Projek penubuhan semula balai polis itu adalah susulan daripada majlis menandatangani perjanjian penswastaan  pada Julai tahun 2022 antara Kementerian Dalam Negeri, syarikat Tanah dan Harta Sdn. Bhd dengan PMVSB.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pihaknya komited untuk memastikan komuniti sekitar kekal selamat dan terus berkembang maju sejajar dengan pembangunan projek Merdeka 118.

“Projek ini akan dibangunkan berasaskan beberapa skop utama yang akan bermula dengan Skop Projek 1 yang melibatkan pembangunan semula balai polis itu.

“Projek ini meliputi kawasan seluas 0.744 hektar yang sedang dilaksanakan di Kompleks Balai Polis Tun H.S. Lee dan Cawangan Trafik Kontinjen KL di Jalan Tun H.S. Lee.

“Bagi Skop Projek 3 pula akan memberi tumpuan kepada pembinaan kemudahan trafik sementara bagi kes-kes di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang terletak di Setapak, Air Panas, KL,” katanya.

Beliau berkata demikian  dalam kenyataan bersempena majlis pecah tanah bagi projek pembangunan semula Balai Polis Tun H.S. Lee yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di sini baru-baru ini.

Turut diadakan pada majlis berkenaan adalah pemeteraian perjanjian tambahan untuk pembinaan 150 unit kediaman bagi Polis Diraja Malaysia di bawah Skop Projek 2.

Projek perumahan 29 tingkat itu akan dibangunkan berhampiran balai polis dan akan menyediakan ruang kediaman yang moden dan praktikal untuk meningkatkan kesejahteraan anggota dan keluarga mereka.

Selain itu, Ab. Aziz menerangkan, Skop Projek 1 dan Skop Projek 2 masing-masing dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan, manakala Skop Projek 3 dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

Sehingga hari ini, PMVSB telah melabur jumlah yang signifikan untuk pembangunan infrastruktur di presint Merdeka 118, dengan matlamat meningkatkan capaian, keselamatan dan kemudahan secara menyeluruh bagi pengunjung dan juga masyarakat setempat. 

Ini termasuk pembinaan laluan berbumbung dan jambatan untuk memastikan laluan selamat bagi pejalan kaki. 

Terowong di bawah Jalan Belfield menyediakan akses parkir kereta yang lancar melalui laluan utama seperti Jalan Syed Putra dan Jalan Istana, dan Pusingan U bertingkat baharu dibina di Jalan Hang Jebat bagi melancarkan lalu lintas di kawasan sekitar. KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI