fbpx

Percepat laksana gaji minimum RM1,700, majikan jangan mengelak – MTUC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Effendy

PETALING JAYA – Kerajaan digesa untuk mempercepatkan tempoh pelaksanaan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bagi mengelakkan pekerja terus berdepan dengan peningkatan kos sara hidup yang menjadi bebanan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan gaji minimum itu adalah langkah penting kerana mampu meringankan beban yang semakin meningkat akibat inflasi dan tekanan ekonomi global.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat Kerajaan Madani untuk memajukan ekonomi ke arah lebih adil dan memastikan tiada golongan pekerja tertinggal dalam pembangunan negara.

“MTUC menegaskan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang tegas.

“Majikan mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baru ini, tanpa sebarang percubaan untuk mengelak atau mengeksploitasi pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Effendy menambah, penguatkuasaan undang- undang berkaitan penetapan gaji minimun perlu diperkukuhkan untuk memastikan hak pekerja dilindungi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari tahun hadapan.

Bagaimanapun, Anwar memberitahu, kerajaan turut bersetuju untuk memberi penangguhan berkaitan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Jelas Anwar, penangguhan itu adalah selama tempoh enam bulan kedepan.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, pihaknya menggesa majikan-majikan besar yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menawarkan gaji lebih tinggi daripada kadar minimum ditetapkan kerajaan.

“Kami amat berharap dan mengalu-alukan tindakan majikan yang sedia memberikan gaji yang lebih tinggi sebagai satu langkah proaktif dalam menghargai sumbangan pekerja serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI