fbpx

Penting diagnosis awal Alzheimer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI keluarga perlu memainkan peranan membantu pesakit Alzheimer. – Gambar hiasan

PENYAKIT Alzheimer ialah gangguan otak yang menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Di Malaysia, hampir 44,000 orang menghidap Alzheimer dan jumlah ini dijangka meningkat.

Penyakit Alzheimer menyerlahkan kepentingan diagnosis awal, pilihan rawatan lanjutan dan pendekatan holistik untuk menguruskan isu kesihatan ini.

Pakar saraf di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Sherrini Bazir Ahmad berkata, walaupun ciri-ciri kehilangan ingatan adalah aspek penuaan yang biasa, namun tanda-tanda awal Alzheimer melangkaui kehilangan ingatan.

Menurutnya, kesan awal Alzheimer bukan sahaja pada ingatan, malah gangguan memori, keupayaan berfikir dan perilaku.

“Perubahan ini mengganggu kehidupan seharian. Ini bukan bab penuaan yang normal,” katanya.

Tambahnya, ahli keluarga dan penjaga harus sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda ini.

Salah satu cabaran dalam menguruskan Alzheimer adalah membezakan gejala awal daripada penuaan biasa.

Tanda-tanda halus seperti kekeliruan yang kerap dan perubahan dalam bahasa serta tingkah laku harus mendorong ahli keluarga mendapatkan nasihat profesional.

Pengesanan awal adalah penting untuk memperlahankan perkembangan penyakit dan melaksanakan pelan penjagaan berkesan.

Dalam pada itu, Alzheimer adalah jenis dementia paling biasa yang terdiri kira-kira 70 peratus daripada semua kes.

Mendapatkan diagnosis yang tepat akan membantu keluarga membuat persediaan dan perancangan masa depan dari segi emosi serta kewangan.

DR. SHERRINI

Menghurai lanjut, Dr. Sherrini berkata, diagnosis awal dan tepat penting untuk perancangan.

“Ini termasuk melantik penjaga, membuat keputusan undang-undang dan kewangan serta membincangkan pilihan penjagaan jangka panjang,” jelasnya.

Dementia datang dalam pelbagai bentuk, daripada Lewy Body Dementia (DLB), Fronto-Temporal Dementia (FTD) kepada keadaan neurologi lain seperti multiple sclerosis serta penyakit parkinson.

Mengetahui jenis dementia tertentu dapat membantu doktor menguruskannya dengan lebih berkesan.

Ketika ini tiada penawar untuk penyakit Alzheimer, tetapi ubat-ubatan boleh membantu memperlahankan perkembangan penurunan kognitif.

Dr. Sherrini menjelaskan, terapi pengubahsuaian penyakit ini adalah untuk individu yang mengalami gangguan kognitif ringan atau Alzheimer peringkat awal.

“Terapi ini menyasarkan beta-amyloid, protein yang terkumpul secara tidak normal di dalam otak, sekali gus membentuk plak toksik dan neuron.

“Pengidap Alzheimer mengalami kehilangan ingatan dan penurunan kognitif akibat kerosakan yang disebabkan oleh plak ini,” ujarnya.

Tambahnya, dengan mengurangkan pembentukan protein beta-amyloid, terapi itu bertujuan memperlahankan perkembangan penyakit.

Bagaimanapun, Dr. Sherrini menekankan bahawa walaupun rawatan ini berkesan, namun kesan jangka panjangnya tidak menentu.

Pesakit juga perlu dipilih dengan teliti untuk rawatan ini kerana risiko kesan sampingan.

Menurutnya, selain ubat-ubatan, pelan penjagaan yang komprehensif juga mungkin melibatkan rujukan kepada profesional kesihatan mental.

“Ini amat penting untuk menguruskan gejala tingkah laku seperti kebimbangan, kemurungan, atau halusinasi yang biasanya timbul pada peringkat akhir Alzheimer.

“Penyakit ini bukan sahaja menjejaskan ingatan, ia juga memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan psikologi.

“Pesakit sering mengalami kemurungan, kebimbangan dan kesedihan ketika mereka bergelut dengan kehilangan kebebasan,” katanya.

Perubahan emosi boleh menjadikan masalah ini lebih sukar untuk dikendalikan jika tidak ditangani dengan betul.

Untuk membantu pesakit menghadapi penyakit ini, keluarga digalakkan untuk mewujudkan persekitaran stabil dan mengekalkan rutin biasa.

Komunikasi terbuka tentang penyakit ini melibatkan profesional kesihatan mental boleh membantu menguruskan cabaran emosi.

Kadangkala, ubat mungkin diperlukan untuk membantu mengurangkan ‘mood’ atau kebimbangan.

Mencegah Alzheimer melalui pilihan gaya hidup adalah penting.

Dr. Sherrini memberi amaran, pilihan gaya hidup seperti kurang bersenam, diet tidak sihat serta faktor risiko kardiovaskular tidak terkawal (diabetes, hipertensi, merokok dan pengambilan alkohol berlebihan) boleh meningkatkan risiko Alzheimer dengan ketara.

“Mengekalkan diet sihat, terlibat dalam aktiviti fizikal yang kerap dan memastikan otak kekal aktif melalui penglibatan kognitif boleh membantu mengurangkan risiko penyakit ini.

“Menguruskan keadaan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti sejak awal juga penting untuk kesihatan otak,” katanya.

Untuk membantu dalam pengesanan awal Alzheimer, pengimejan diagnostik lanjutan adalah penting.

Pakar Perunding Radiologi Klinikal dan Pakar Neuroradiologi di SJMC, Prof. Dr. Norlisah Mohd. Ramli berkata, imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Positron Emission Tomography (PET) memainkan peranan penting dalam mengenal pasti perubahan otak sebelum gejala timbul.

“Kami boleh mengesan atrofi hippocampal pada imbasan MRI iaitu salah satu penunjuk terawal Alzheimer.

“Imbasan PET juga berguna, terutamanya kepada pesakit yang menggunakan aktiviti metabolik amiloid dan glukosa untuk menggambarkan corak penyakit,” katanya.

DR. NORLISAH

Selain itu, kemajuan terkini seperti Arterial Spin Labeling (ASL) turut memberikan hasil diagnostik lebih tepat.
ASL, teknik MRI bukan invasif dan mengukur aliran darah otak membolehkan pengesanan awal perubahan neurodegeneratif tanpa memerlukan suntikan kontras atau radiasi.

Alat ini membolehkan doktor mendiagnosis Alzheimer lebih awal dan tepat, serta membimbing pelan rawatan sebelum gejala ketara muncul.

Sebaik sahaja keputusan pengimejan mengesahkan diagnosis, pelan penjagaan peribadi dibuat untuk menangani keperluan khusus setiap pesakit.

Dalam pada itu, Dr. Norlisah berkongsi kes di mana seorang pensyarah berusia 60 tahun yang mengalami kemerosotan ingatan dan masalah fungsi eksekutif.

“Keluarga dan pakar neurologi memerhatikan bahawa pesakit menjadi kurang bercakap, seakan bisu.

“Melalui penggunaan MRI, kami mengenal pasti varian Alzheimer yang dipanggil dementia semantik.

“Ia memberi kesan kepada bahagian otak yang bertanggungjawab untuk pertuturan.

“Dengan diagnosis ini, kami menyesuaikan pelan rawatan secara khusus bagi menyasarkan penyelesaian terhadap dementia jenis ini,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI